Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah selesai menganjurkan Bengkel Membangunkan Garis Panduan Siasatan Kemalangan Angkasa pada 15 Julai 2024 di Dewan Perhimpunan MOSTI, Putrajaya.
Melalui bengkel ini, peserta telah berjaya mendapatkan pemahaman ekosistem kemalangan angkasa dan seterusnya merupakan langkah pertama untuk BPAngkasa merangka pelan garis panduan penyiasatan kemalangan angkasa di Malaysia.
Bengkel ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), UniKL-MIAT, Universiti Sultan Azlan Shah Perak (USAS) bersama pegawai-pegawai dari BPAngkasa sendiri.
Melalui bengkel ini, dikenalpasti skop siasatan kemalangan angkasa dan proses yang terlibat dalam penyiasatan kemalangan angkasa ini yang mempunyai konteks yang luas dan dinamika yang tinggi. Pengalaman penyiasatan kemalangan udara digunakan sebagai asas pembangunan kemalangan angkasa ini.