Kerjasama strategik antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah dimulakan melalui pelaksanaan Bengkel Pengenalan Teknologi Angkasa dan Sistem Litupan MukaBumi Penderiaan Angkasa Sarawak (LIMPAS).
.
Topik pembentangan oleh MYSA merangkumi manfaat teknologi penderiaan jauh (remote sensing) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS), serta penerangan berkaitan fungsi serta penggunaan sistem LIMPAS. Sistem LIMPAS adalah projek kerjasama MYSA dengan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) bagi pemetaan litupan tanah di seluruh negeri Sarawak menggunakan teknologi penderiaan jauh.
.
Pendedahan daripada bengkel ini telah meningkatkan pemahaman pihak DBKU terhadap potensi teknologi angkasa, sekali gus membantu mengenal pasti fokus dan keperluan utama bagi pelaksanaan projek kerjasama antara kedua-dua agensi.
.
Kerjasama MYSA-DBKU memberi tumpuan kepada pembangunan sistem aplikasi bagi menyokong DBKU dalam aspek perancangan, pembangunan, pengurusan, kawal selia serta pemantauan tadbir urus bandar, khususnya melibatkan infrastruktur, keselamatan, pelesenan dan percukaian.
.
MYSA komited dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh melalui pembangunan sistem aplikasi terbitan teknologi angkasa yang berimpak dan strategik untuk menyokong keperluan negara, memperkukuh keupayaan pelbagai agensi Kerajaan sekaligus dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
.
Bengkel anjuran DBKU ini berlangsung pada 20 dan 21 Julai 2026 di Hotel UCSI, Kuching, Sarawak.
.
Angkasa untuk Semua | Space for All