Planet Zuhal merupakan planet keenam dari Matahari dan merupakan planet kedua terbesar selepas Musytari di dalam Sistem Suria. Zuhal mengambil masa selama 29.5 tahun untuk melengkapkan satu orbit mengelilingi Matahari manakala paksi putarannya condong sebanyak 26.7 darjah. Ketika Zuhal bergerak mengelilingi orbitnya, kita akan dapat melihat Zuhal serta gegelangnya dari sudut yang berbeza. Oleh itu, satah gegelang Zuhal akan berada selari dengan sudut pandang dari Bumi pada dua tempat berbeza di dalam orbitnya menyebabkan kita akan melihat gegelang Zuhal dari sudut tepi. Disebabkan gegelang Zuhal yang sangat nipis (ketebalannya kurang dari 100 meter) berbanding saiz planet Zuhal serta jaraknya yang jauh dari Bumi (sekitar 10 AU), gegelang Zuhal sangat sukar dilihat pada kedudukan ini.
Sekiranya planet Zuhal dicerap menggunakan teleskop berkuasa tinggi, gegelang Zuhal akan kelihatan seperti satu garisan nipis yang melintasi planet Zuhal. Fenomena ini memberi peluang kepada ahli astronomi untuk mencari bulan baharu planet Zuhal yang kebiasaannya sukar dilihat disebabkan planet Zuhal dan gegelangnya yang cerah.