MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

PENGENALAN

Observatori Negara Langkawi (ONL) yang siap dibina pada tahun 2006 adalah salah satu balai cerap di Malaysia yang menyediakan fasiliti pencerapan bertaraf antarabangsa bagi penyelidikan dalam bidang astronomi optikal di Malaysia. Kelebihan ONL yang terletak di Khatulistiwa membolehkan ia mencerap objek astronomi di langit hemisfera utara mahupun selatan.

DJI 0126

ONL dilengkapi sistem teleskop optikal yang terbahagi kepada 2 teleskop utama:

  • 2 unit Sistem Teleskop Stellar (langit malam) iaitu Stellar I dan II yang mana salah satunya berupaya menjejak NEO (Near-Earth Object); dan
  • 1 unit Sistem Teleskop Solar (Matahari)
DJI 0174

Stellar I dibangunkan pada tahun 2006 untuk tujuan pencerapan fenomena dan objek astronomi seperti fenomena gerhana, kajian bintang dedua, planet, galaksi, asteroid dan sebagainya. Pada tahun 2015, ONL telah diberi pengiktirafan kod observatori O43 oleh Minor Planet Center, Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU – International Astronomical Union) sebagai salah satu fasiliti yang berupaya untuk mencerap objek yang menghampiri bumi (NEO – Near-Earth Object) seperti komet dan asteroid. Keupayaan ONL dipertingkatkan pada tahun 2017 melalui pembangunan Stellar II yang berupaya mencerap dan menjejak NEO dengan lebih pantas.

Sistem Teleskop Solar yang dibangunkan pada tahun 2006 dapat mencerap Matahari dalam 3 panjang gelombang yang berbeza melalui penapis (filter) cahaya nampak (white-light), Hydrogen-Alpha (6562.8Å) dan Calcium K-line (3933.7Å) yang  bertujuan untuk pemantauan terhadap aktiviti Matahari secara optikal. Pemantauan ini penting untuk mendapatkan informasi keadaan Matahari dan sekitarnya yang mungkin akan memberi kesan kepada persekitaran angkasa, teknologi dan kehidupan di Bumi.  Pada tahun 2015, ONL telah diberi pengiktirafan sebagai salah satu stesen penyumbang data tompok Matahari kepada World Data Centre of Sunspot Number melalui Sunspot Index and Long-term Solar Observations Network (SILSO) kerana berkeupayaan melaksanakan pencerapan Matahari secara konsisten pada setiap hari

 

PENGGUNAAN ONL

Tujuan utama penggunaan ONL adalah untuk Penyelidikan dan Pembangunan dan penjanaan ilmu (knowledge creation) yang melibatkan penglibatan penyelidik dan pelajar universiti tempatan/antarabangsa serta rakan kerjasama antarabangsa (penyelidik antarabangsa) khususnya melalui program kerjasama penyelidikan saintifik. Antara lain, termasuk penempatan instrumentasi saintifik yang berkaitan di ONL bagi tujuan penyelidikan.

Selain itu, ONL juga turut menyokong program pendidikan seperti penempatan pelajar Latihan Industri serta kesedaran melibatkan semua lapisan masyarakat khususnya pelajar termasuk melalui penerimaan pelawat.

 

PERKHIDMATAN YANG DITAWARKAN

Bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan, ONL menyediakan khidmat konsultansi, latihan, penggunaan  dan perkhidmatan lain berkaitan astronomi dan sains angkasa seperti berikut:

▶️ Astrometri, fotometri dan spektroskopi stellar;

▶️ Data dan imej cerapan stellar, solar dan cuaca angkasa;

▶️ Pengendalian instrumentasi dan pencerapan data;

 

Sila hubungi MYSA untuk permohonan perkhidmatan yang diperlukan.

Maklumat lanjut sila layari portal kami di http://observatory.mysa.gov.my/ atau muat turun Brosur ONL.

Skip to content