MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

(Last Updated On: 2024-03-21)
TM TOMPOK MATAHARI PADA 22 & 28 JANUARI 2024

Tompok Matahari merupakan aktiviti suria yang wujud di permukaan fotosfera Matahari dengan pelbagai saiz dan bentuk serta berkait rapat dengan kehadiran medan magnet yang kuat di kawasan tersebut. Suhu Tompok Matahari adalah lebih sejuk iaitu sekitar 4,000 darjah Celcius berbanding kawasan fotosfera Matahari yang lain iaitu sekitar 5,500 darjah Celcius. Kumpulan Tompok Matahari yang besar biasanya mengandungi umbra (teras gelap) yang dikelilingi oleh penumbra (kawasan cerah) dalam bentuk yang kompleks.

.
Tompok Matahari akan mengembang dan mengecut serta kebiasaannya akan hilang sepenuhnya selepas beberapa hari hingga beberapa minggu. Dengan perkataan lain, anggaran jangka hayat sesuatu Tompok Matahari adalah di antara beberapa hari hingga beberapa minggu. Disebabkan Matahari juga berputar di atas paksinya, fenomena ini hanya boleh diperhatikan apabila ia berada pada permukaan yang menghadap Bumi, namun hal ini tidak bermakna ia telah hilang sepenuhnya semasa permukaan tersebut tidak menghadap Bumi.

.
Setiap hari, kumpulan Tompok Matahari akan dianalisis dan diberikan nombor serta klasifikasi kategorinya oleh pakar cuaca angkasa. Sesetengah kumpulan Tompok Matahari, terutamanya yang mempunyai susun atur medan magnet yang kompleks, lazimnya akan mencetuskan suar suria yang membebaskan tenaga dalam pelbagai bentuk serta berkemungkinan mengenai Bumi dan mengganggu komponen elektronik serta isyarat radio dan satelit.

.
Peningkatan bilangan Tompok Matahari sering berkait rapat dengan kejadian kitaran suria maksimum yang berlaku setiap 11 tahun yang menyebabkan aktiviti Matahari seperti pelepasan jisim korona (Coronal Mass Ejection, CME) dan suar suria turut meningkat.

.
#MYSA #MOSTI #ONL
#merakyatkansains #menginsankanteknologi #mengarusperdanakaninovasi

Skip to content