Tompok Matahari 21-24 Februari 2022

Tompok Matahari 21-24 Februari 2022

Empat (4) imej Matahari ini telah berjaya dirakam bermula pada 21 hingga 24 Februari 2022 dengan menggunakan sistem teleskop dengan penapis cahaya nampak (white light) di Observatori Negara Langkawi (ONL) menunjukkan kemunculan dan kehilangan Tompok Matahari serta peredaran Tompok Matahari. Tompok Matahari AR2948 dan AR2952 yang mula muncul pada permukaan Matahari pada 14 Februari 2022 dan 17 Februari 2022 telah hilang sepenuhnya pada permukaan Matahari (fotosfera) pada 22 Februari 2022. Keempat-empat imej Matahari juga menunjukkan kedudukan Tompok Matahari AR2953, AR2954 dan AR2955 pada permukaan Matahari adalah berbeza mengikut hari dan membuktikan bahawa Matahari juga berputar di atas paksinya.

.
Tompok Matahari adalah kawasan sejuk di lapisan fotosfera yang dihasilkan oleh perubahan setempat di dalam medan magnet Matahari serta cenderung untuk terbentuk dalam kumpulan-kumpulan. Suhunya adalah lebih rendah, iaitu 4000oC berbanding dengan suhu purata pada lapisan fotosfera, iaitu 6000oC.

.
Tompok Matahari akan mengembang dan mengecut dan kebiasaannya ia akan hilang sepenuhnya selepas beberapa hari hingga beberapa minggu. Dalam kata lain, anggaran jangka hayat sesuatu Tompok Matahari adalah di antara beberapa hari hingga ke beberapa minggu. Disebabkan Matahari juga berputar di atas paksinya, fenomena ini hanya boleh diperhatikan apabila ia berada pada permukaan yang menghadap Bumi, namun ini tidak bermakna ia telah hilang sepenuhnya semasa permukaan tersebut tidak menghadap Bumi. Peningkatan bilangan tompok Matahari sering berkait rapat dengan kejadian kitaran Matahari maksimum yang berlaku setiap 11 tahun yang menyebabkan aktiviti Matahari seperti hamburan jisim korona (Coronal Mass Ejection, CME) dan suar suria turut meningkat.

𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗞𝗮𝗸𝗶
•Fotosfera adalah “permukaan” Matahari yang dapat dilihat dengan penapis cahaya nampak.
•Tompok Matahari dapat dilihat di permukaan lapisan fotosfera dan ia merupakan kawasan paling sejuk di permukaan Matahari (~4000oC)
•Suar suria adalah ledakan cahaya yang sangat cerah di Matahari dan biasanya kelihatan berhampiran dengan Tompok Matahari yang besar dan tidak sekata. Ledakan cahaya disebabkan oleh ledakan gas hidrogen yang berlaku selama beberapa minit hingga sejam atau lebih sedikit.
•Coronal Mass Ejection CME adalah gumpalan plasma iaitu jirim dalam keadaan elektron telah dipisahkan dari nukleus atomnya. CME merentasi ruang angkasa dalam bentuk jirim yang memecut dengan kelajuan lebih kurang 2 juta kilometer sejam dan mampu sampai ke bumi dalam masa 3 hari. CME akan memberi kesan kepada lapisan atmosfera Bumi terutamanya magnestosfera.

.
Rujukan:
✅https://www.spaceweatherlive.com/en/solar-activity
✅https://www.spaceweather.com/archive.php?view=1&day=22…

.
#MYSA #MOSTI #ONL
#BekerjaBersamaRakyat
#KeluargaMalaysia #KitaJagaKita #KemakmuranBersamaTeknologiAngkasa