MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

(Last Updated On: 2022-02-09)
Sidang Dewan Negara Parlimen Keempat Belas telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Angkasa Malaysia yang dibentangkan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad bin Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 9 Disember 2021.  Seterusnya, RUU Lembaga Angkasa Malaysia telah mendapat perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 19 Januari 2022 dan telah diwartakan sebagai Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] pada 25 Januari 2022.
 
Pewujudan Akta ini bertujuan untuk menubuhkan Lembaga Angkasa Malaysia untuk mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa yang tertentu bagi tujuan keselamatan, untuk mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan angkasa yang tertentu dan perkara yang berkaitan. Akta ini akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat dan terjamin serta mematuhi segala garis panduan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa terutamanya melalui United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA). Pada masa yang sama, Kerajaan dapat meratifikasi triti-triti angkasa dan melaksanakan obligasi di bawah kerangka perundangan antarabangsa yang akan memangkinkan peranan negara dalam penyelidikan dan pembangunan industri angkasa ke arah New Space Economy.
Skip to content