MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

(Last Updated On: 2022-03-16)
Ribut Geomagnetik 13 Mac 2022
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah mengesahkan ribut geomagnetik kelas G2 yang berkekuatan sederhana telah berlaku pada 13 Mac 2022 jam 20:51 waktu Malaysia. Fenomena aurora dari kesan ribut geomagnetik G2 tersebut telah dapat disaksikan dengan mata kasar di beberapa negara berlatitud tinggi seperti Alaska, New Zealand dan Eropah tetapi tidak dapat disaksikan di negara-negara yang berlatitud rendah seperti di Malaysia. Selain itu, ribut geomagnetik tersebut juga tidak memberi kesan yang ketara kepada sistem teknologi di Bumi terutamanya di negara-negara yang berlatitud rendah.
.
MYSA giat menjalankan pemantauan terhadap perubahan aktiviti matahari melalui instrumentasi ground-based berikut:
i. Pengumpulan data dan imej matahari dilakukan di Observatori Negara Langkawi (ONL) dengan menggunakan sistem teleskop optik.
ii. Pengesanan suar suria dalam julat frekuensi radio 45 hingga 870 MHz melalui instrumentasi yang dinamakan Compound Astronomical Low frequency Low cost Instrument for Spectroscopy and Transportable Observatory (CALLISTO) di Kompleks Teknologi Angkasa (KTA), Banting; dan
iii.Perubahan medan magnet Bumi melalui instrumentasi magnetometer di bawah seliaan MYSA iaitu Magnetic Data Acquisition System (MAGDAS) di Ranau, Sabah.
.
Ribut geomagnetik yang disebabkan oleh aktiviti Matahari, iaitu berskala G2 (sederhana) dijangka berlaku pada 14 Mac 2022 dan berskala G1 (minor) berlaku pada 15 Mac 2022 disebabkan oleh beberapa siri hamburan jisim korona (CME) yang telah berlaku sejak 10 Mac 2022.
.
Ribut geomagnetik dikelaskan mengikut lima (5) skala, iaitu satu (1) adalah yang paling lemah dan lima (5) adalah paling berkeupayaan menyebabkan kerosakan pada sistem teknologi di bumi dan angkasa lepas seperti dalam Jadual 1.
.
Walau bagaimanapun, ribut geomagnetik yang berskala besar seperti G4 dan G5 berpotensi menyebabkan kerosakan kepada transformer dan mampu menyebabkan bekalan elektrik terputus. Ribut geomagnetik berskala besar juga boleh mengganggu lapisan ionosfera bumi yang akan memberi kesan kepada teknologi yang berasaskan gelombang radio seperti sistem navigasi satelit, sistem komunikasi dan sektor penerbangan.
Ribut Geomagnetik 13 Mac 2022
Ribut Geomagnetik 13 Mac 2022
Skip to content