MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

(Last Updated On: 2022-11-06)
Planet Musytari dengan ‘The Great Red Spot’ dan bulannya, iaitu Europa
Planet Musytari dengan ‘The Great Red Spot’ dan bulannya, iaitu Europa telah dicerap dari Observatori Negara Langkawi pada 3 Oktober 2022 jam 9:34 malam. Musytari merupakan planet yang kelima dari Matahari dan terbesar dalam Sistem Suria. Planet gergasi bergas ini mempunyai jalur dan pusaran yang sebenarnya merupakan awan ammonia, Kristal hidrosulfida serta air yang sejuk dan berangin, terapung di dalam lapisan atmosfera yang terdiri daripada gas hidrogen dan helium. Planet ini mempunyai satu tompok merah yang dikenali sebagai ‘The Great Red Spot’ yang merupakan ribut raksasa yang bersaiz 1.3 kali ganda lebih besar daripada Bumi.
.
Jarak purata Musytari dari Matahari adalah sekitar 778 juta kilometer atau 5.2 Astronomical Unit (AU). Ia merupakan planet terbesar dalam Sistem Suria dengan diameternya 142,984 km, iaitu lebih kurang 11.2 kali ganda diameter Bumi. Musytari hanya mengambil masa kira-kira 10 jam untuk melengkapkan satu putaran pada paksinya tetapi mengambil masa kira-kira 12 tahun Bumi untuk melengkapkan orbitnya mengelilingi Matahari. Musytari mempunyai beberapa gelang mengelilinginya yang terdiri daripada debu tetapi ia sangat sukar dilihat.
.
Musytari mempunyai 80 bulan setakat ini. 57 bulan telah diberi nama oleh Kesatuan Astronomi Kebangsaan (IAU) dan 23 bulan masih belum dinamakan secara rasmi. Daripada jumlah itu, 4 bulan utama, iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callisto telah dicerap oleh ahli astronomi Galileo Galilei pada tahun 1610, justeru dikenali sebagai Galilean Satellite/Moons.
.
Kini, sebanyak 9 kapal angkasa telah melawat Musytari, tujuh daripadanya telah terbang melaluinya (flyby mission) dan dua telah mengorbit planet gergasi gas tersebut. Kapal angkasa NASA yang baharu, iaitu Juno tiba di Musytari pada Julai 2016 dan kini sedang mengkaji planet gergasi tersebut dari orbit.
 
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
*Unit astronomi (Astronomical Unit) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1 AU bersamaan dengan 1.5 x108 km
Skip to content