Persidangan dan Pameran Antarabangsa IGRSM Ke-13 yang bertemakan “Kecerdasan Geospatial untuk Masa Depan yang Mampan” (Geospatial Intelligence for a Sustainable Future) mengetengahkan peranan penting kecerdasan geospatial sebagai pemacu keupayaan strategik negara dalam mendepani cabaran yang semakin kompleks.
.
Perasmian persidangan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA). Beliau dalam ucapannya menekankan dalam era data sebagai aset strategik, kecerdasan geospatial memainkan peranan penting dalam mentransformasikan data kepada maklumat bernilai yang menyokong pembuatan keputusan lebih tepat, pantas dan berasaskan bukti. Keupayaan ini menjadi semakin penting dalam membantu negara merancang dan melaksanakan pelbagai agenda pembangunan secara lebih berkesan, termasuk perancangan pembangunan, pemantauan perubahan iklim, pengurusan alam sekitar dan sumber asli, keselamatan makanan dan air, pengurusan aset strategik serta risiko bencana.
.
Turut berlangsung, sesi pembentangan (keynote session) oleh Ts. Kamaruzzaman Wahid, Pengarah Bahagian Aplikasi Strategik MYSA, dengan topik “Vital Role of Geospatial in the Implementation of National Space Policy 2030: In Malaysia Perspective”. Beliau mengupas peranan teknologi geospatial sebagai antara komponen penting dalam merealisasikan aspirasi Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) melalui pemanfaatan data berasaskan teknologi angkasa.
.
Persidangan dan Pameran Antarabangsa IGRSM Ke-13 diadakan pada 5 dan 6 Ogos 2026 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur ini turut meraikan sambutan ulang tahun ke-30 IGRSM. Persidangan menghimpunkan profesional, pembuat dasar, pemimpin industri, penyelidik dan pelajar bagi berkongsi kepakaran serta meneroka kemajuan terkini dalam sains geospatial, penderiaan jauh, GIS, AI, UAV, pertanian pintar, pengurusan bencana, hidrografi dan pelbagai aplikasi baharu yang sedang berkembang.