Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah berlangsung pada 11 Disember 2025 di UniSZA Kampus Putrajaya.
.
Pemeteraian MoU ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA dan YBhg. Profesor Dato’ Dr. Fadzli bin Adam, Naib Canselor UniSZA.
.
Skop kerjasama meliputi penyelidikan sains dan teknologi angkasa khususnya bidang Cuaca Angkasa, Astronomi dan Alam Sekitar. Ini termasuk perkongsian kepakaran, bahan, informasi dan penerbitan; pelaksanaan program latihan; pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan; serta promosi bersama menerusi program pemudayaan STI Angkasa.
.
Pemeteraian MoU ini amat signifikan ketika negara sedang melaksanakan pembangunan sektor angkasa secara lebih terancang dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) untuk negara beralih daripada pengguna kepada pencipta dan penyedia teknologi angkasa.
.
MYSA komited menyusun strategi termasuklah meningkatkan penerimaan teknologi angkasa dalam semua sektor termasuk sektor pendidikan bagi kesinambungan kepakaran sedia ada dan pembangunan kepakaran baharu yang dapat memenuhi keperluan sektor angkasa negara.
.
Angkasa untuk semua | Space for all