MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

(Last Updated On: 2023-10-06)
Hujan Meteor Draconids

Hujan Meteor Draconids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Draco, tetapi kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah. Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila Bumi yang beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit Komet 21P/Giacobini-Zinner.

Komet 21P/Giacobini-Zinner dianggarkan mengambil masa selama 6.6 tahun untuk melengkapkan orbitnya mengelilingi Matahari. Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut. Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.

Ribut meteor Draconids telah berlaku pada tahun 1933 dan 1946. Ribut meteor berlaku apabila lebih daripada seribu meteor kelihatan ketika kemuncak hujan meteor berlaku. Ribut meteor Draconids hanya boleh berlaku apabila Bumi melintas tepat di dalam orbit Komet 21P/Giacobini-Zinner sejurus selepas komet itu berlalu. Pada tahun 1926, 1952, 1985, 1998, 2011 dan 2018, kenampakan bilangan meteor per jam adalah tinggi tetapi tidak mencapai tahap ribut meteor.

Skip to content