MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

(Last Updated On: 2022-05-09)
Hujan Meteor Eta Aquarids
Orang ramai dijangka akan dapat melihat fenomena angkasa yang dikenali sebagai Hujan Meteor Eta Aquarids mulai 19 April hingga 28 Mei 2022. Kemuncak Hujan Meteor Eta Aquarids akan berlaku pada awal pagi 7 Mei 2022 dengan purata 50 meteor per jam. Kenampakan hujan meteor tersebut adalah baik kerana tiada gangguan Bulan semasa kemuncak fenomena ini berlaku.
.
Hujan Meteor Eta Aquarids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Aquarius, tetapi kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah. Hujan meteor ini dinamakan sempena bintang paling terang dalam buruj Aquarius, iaitu Eta Aquarii. Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit komet 1P/Halley atau dikenali sebagai Komet Halley. Hujan Meteor Eta Aquarids merupakan salah satu hujan meteor yang disebabkan oleh debu-debu komet Halley selain Hujan Meteor Orionids yang berlaku pada bulan Oktober setiap tahun.
.
Komet Halley dianggarkan mengambil masa selama 75 hingga 76 tahun untuk melengkapkan orbitnya. Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut. Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.
.
𝗡𝗼𝘁𝗮 𝗸𝗮𝗸𝗶:
• Aquarius ialah buruj zodiak hemisfera selatan yang luas yang berhampiran dengan Pegasus, dan bintang tercerahnya terdiri daripada bintang magnitud ketiga. Aquarius dilambangkan oleh seorang lelaki yang membawa sebuah kendi air.
• Komet ialah jasad cakerawala yang beredar mengelilingi Matahari dan meninggalkan kesan ekor yang bercahaya.
.
Skip to content