Bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri tetapi memantulkan cahaya Matahari ke mata kita. Seperti Bumi, Bulan juga berputar pada paksinya dan pada masa yang sama, ia beredar mengikut orbitnya mengelilingi Bumi. Semasa Bulan mengorbit Bumi, kedudukan Bulan berubah-ubah dari masa ke masa. Oleh itu, luas permukaan Bulan yang disinari cahaya yang menghadap ke Bumi adalah berbeza-beza pada setiap masa. Bentuknya juga akan berubah-ubah sepanjang peralihan fasa bulan baru ke fasa bulan penuh dan kembali semula ke fasa bulan baru.
Fasa bulan purnama merupakan fasa bulan yang berlaku apabila Bulan berada bertentangan dengan Bumi dan Matahari. Pada kedudukan ini, keseluruhan permukaan Bulan yang disinari cahaya Matahari akan menghadap Bumi dan kelihatan bulat. Imej fasa bulan purnama ini telah dicerap dari Observatori Negara Langkawi pada 7 Mac 2023 jam 11:34 malam.