MINISTRY OF SCIENCE AND TECHNOLOGY

(Last Updated On: 2025-06-20)
Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (JKP) bagi kerjasama antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah diadakan pada 19 Jun 2025 di Kompleks Operasi Angkasa (SOC), MYSA, Temerloh, Pahang. Mesyuarat ini telah dipengerusikan secara bersama oleh YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA, dan YBhg. Dato’ Baidzawi bin Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC. Mesyuarat ini merangkumi pembentangan Laporan Kemajuan Projek bagi tahun 2024, perbincangan mengenai status pelaksanaan aktiviti bagi tahun 2025 serta perancangan strategik bagi aktiviti akan datang. Turut berlangsung, peluncuran sistem aplikasi Space Technology for ECER Land Leveraging & Analytics for Regeneration (STELLAR).
.
Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MYSA dan ECERDC pada 5 Februari 2024 menandakan permulaan kerjasama strategik dalam pembangunan sistem aplikasi berteraskan teknologi angkasa.
📌Sistem ini bertujuan untuk menyediakan sebuah platform bersepadu berasaskan imej satelit dan data geospatial bagi menyokong perancangan serta pemantauan projek ECERDC dalam pelbagai sektor seperti pertanian, perikanan, pelancongan dan alam sekitar. Ia membolehkan pengumpulan maklumat geospatial yang lebih teratur serta analisis yang lebih tepat dan berterusan.
📌Penambahbaikan sistem akan dilaksanakan secara berterusan, termasuk peluasan skop modul sistem.
.
Selain itu, delegasi ECERDC turut diberikan taklimat mengenai pengoperasian penerimaan dan prapemprosesan data satelit penderiaan jauh di Kompleks Operasi Angkasa (SOC), serta dibawa melawat ke platform Sistem Antena Data Satelit Oseanografi Generasi Baharu MYSA yang berfungsi menerima data satelit penderiaan jauh secara langsung setiap hari.
Angkasa untuk semua | Space for all
🌎📡🔭🚀🛰️
Skip to content