Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MySA) Azlikamil Napiah berkata, fenomena solar storm memang kerap berlaku.
“Hakikatnya fenomena solar storm memang kerap berlaku pada matahari dan ia adalah proses semula jadi pada matahari.
“Kesan solar storm adalah pelbagai khususnya pernah melanda kawasan sekitar bahagian kutub utara bumi. Sungguhpun demikian sehingga kini ia boleh dikawal dan dijangka kesannya.
“Jadi, orang ramai tidak perlu panik dengan fenomena ini kerana ia tidak terjadi secara tiba-tiba.
“Malah kemampuan teknologi masa kini boleh memantau evolusi proses berkenaan termasuk risikonya,” katanya kepada Harian Metro.
Sebelum ini ramai yang bimbang kerana jika benar fenomena itu terjadi maka Geomagnetic Storm juga berlaku yang didakwa boleh menjejaskan fungsi elektronik dan jaringan Internet.
Ada mendakwa bank ataupun urusan secara dalam talian tidak berfungsi malah bumi bergelap selama 17 hari dan suhu dunia akan jatuh.
Fenomena ribut solar pernah berlaku pada 1859 yang mana matahari mengeluarkan solar ‘flare’ dan terkena pada bumi.
Pada tahun hadapan akan berlaku sekali lagi dengan 60 kali ganda lebih kuat dari ribut solar yang pernah berlaku sebelum ini digelar sebagai ‘Carington Event’.
Kesan ribut solar ketika itu menyebabkan cahaya Aurora boleh dilihat di seluruh dunia serta boleh menyebabkan percikan api dan kebakaran.