Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030) bersama Panel Pakar Tahun 2026 pada 2 hingga 4 November 2026 di Observatori Negara Langkawi (ONL), Kedah.
 
Sesi libat urus ini bertujuan memantau dan menilai status kemajuan pelaksanaan dan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) MSE2030, mengenal pasti isu serta cabaran pelaksanaan, disamping mendapatkan pandangan dan syor strategik bagi memperkukuh keberkesanan pelaksanaan pelan tindakan MSE2030.
 
Sepanjang sesi berlangsung, perbincangan memberi tumpuan kepada pencapaian KPI di bawah lima teras strategik MSE2030, termasuk pemantapan dokumen pembuktian, penambahbaikan kaedah pengiraan pencapaian KPI serta penyelarasan inisiatif bagi tempoh pelaksanaan sehingga tahun 2030.
 
Hasil sesi libat urus ini akan menjadi input penting dalam memperkukuh perancangan, pemantauan dan penilaian pelaksanaan MSE2030 ke arah pembangunan sektor angkasa negara yang lebih berdaya saing, mampan dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030).
Skip to content