Libat urus Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bersama Pemegang Taruh Bagi Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sektor Angkasa Negara telah berlangsung pada 14 Mei 2026 di Ibu Pejabat MYSA, Kuala Lumpur dengan penyertaan institusi TVET awam kementerian/kerajaan negeri dan institusi swasta.
.
Selaras dengan Teras 3 Dasar Angkasa Negara 2030 iaitu Memacu Pembangunan Teknologi dan Kepakaran Tempatan, libat urus ini memberi fokus untuk mengenal pasti keperluan semasa, mengatur gerak kerja serta memperincikan hala tuju bagi mengintegrasikan sektor angkasa dalam pelaksanaan TVET di Malaysia.
.
YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA dalam ucapan penutup menekankan libat urus ini amat penting dan bertepatan dengan aspirasi negara dalam memperkukuh pembangunan bakat bidang angkasa. Negara kini memberi tumpuan kepada aktiviti huluan (upstream) teknologi angkasa seperti pembangunan satelit penderiaan jauh negara, Koridor Ekonomi Angkasa serta kemudahan tapak pelancar. Justeru, tenaga kerja berkemahiran teknikal dan kompetensi khusus selaras dengan kehendak industri amat diperlukan.
.
Hadir sama, YBrs. Puan Nik Mazlina binti Nik Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal dan Operasi) MYSA yang menyampaikan ucapan pembukaan, memimpin sesi perbincangan kumpulan dan pembentangan hasil dapatan libat urus.
.
Sesi turut diisi dengan taklimat oleh MYSA mengenai Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030: Malaysia Space Exploration (MSE2030), selain perkongsian daripada pihak industri berhubung perkembangan semasa dan potensi industri.