Perhimpunan Bulanan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Bulan November 2024 telah berlangsung di Observatori Negara Langkawi (ONL), Langkawi, Kedah pada 5 November 2024.
.
YBrs. Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam amanatnya berbicara mengenai keteguhan, kekuatan empangan dan komponen sekelilingnya yang boleh dijadikan iktibar untuk warga MYSA – membina daya ketahanan diri, kalis cabaran dan bekerja berpasukan dalam menjalankan tugas.
.
Analogi yang dikongsikan kali ini bersesuaian dengan lokasi perhimpunan yang diadakan secara outdoor di perkarangan ONL, menghadap tasik Empangan Bukit Malut – membuka minda untuk mengambil pengajaran dari persekitaran sekeliling kita.
.
Matlamat dan strategi dalam mencapai visi dan misi organisasi kena jelas menyamai analogi fungsi empangan yang dibina untuk jangka masa panjang – sumber air yang menyumbang penuh manfaat kepada negara dan kesejahteraan rakyat. Justeru, beliau menarik perhatian untuk komitmen tinggi warga MYSA merealisasikan Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 atau Malaysia Space Exploration (MSE) 2030 melalui tindakan berstrategi, berintegriti dan penuh kebertangungjawaban untuk manfaat bersama.
.
Majlis diakhiri dengan acara penanaman anak pokok Ketapang sebagai simbolik bagi penutupan Sambutan Minggu Angkasa Sedunia Malaysia Chapter yang bertemakan ‘Angkasa dan Perubahan Iklim’.