(Last Updated On: 2022-10-30)
TM2022 6

Imej ini menunjukkan konjungsi planet Marikh dan Nebula Lagoon (𝘗𝘭𝘢𝘯𝘦𝘵 𝘔𝘢𝘳𝘴 𝘢𝘯𝘥 𝘓𝘢𝘨𝘰𝘰𝘯 𝘕𝘦𝘣𝘶𝘭𝘢 𝘪𝘯 𝘊𝘰𝘯𝘫𝘶𝘯𝘤𝘵𝘪𝘰𝘯) yang telah dicerap dari Observatori Negara Langkawi pada 26 Januari 2022 jam 6:30 pagi. Konjungsi (𝘊𝘰𝘯𝘫𝘶𝘯𝘤𝘵𝘪𝘰𝘯) merupakan fenomena nyata yang disebabkan oleh perspektif pemerhati dari Bumi iaitu dua objek cakerawala dilihat berdekatan jika dilihat dari Bumi, namun sebenarnya kedua-duanya adalah berjauhan dari satu sama lain di angkasa.

.
Lagoon Nebula (NGC6523) atau dikenali sebagai Messier 8, M8 merupakan sejenis 𝗻𝗲𝗯𝘂𝗹𝗮 𝗽𝗮𝗻𝗰𝗮𝗿𝗮𝗻 yang terletak di buruj 𝗦𝗮𝗴𝗶𝘁𝘁𝗮𝗿𝗶𝘂𝘀 dan diklasifikasikan sebagai kawasan H II (𝙃 𝙄𝙄 𝙧𝙚𝙜𝙞𝙤𝙣). Jaraknya adalah 5,200 𝘁𝗮𝗵𝘂𝗻 𝗰𝗮𝗵𝗮𝘆𝗮 dari Bumi dan berdiameter 130 tahun cahaya. M8 merupakan tapak semaian bintang di mana banyak bintang baharu telah terbentuk daripada awan gas yang besar ini. Oleh itu, ia memberi peluang yang baik kepada ahli astronomi untuk mengkaji sifat-sifat bintang muda. M8 mempunyai kecerahan 𝗺𝗮𝗴𝗻𝗶𝘁𝘂𝗱 𝗸𝗲𝘁𝗮𝗿𝗮 6 dan boleh dilihat dengan mata kasar dalam keadaan langit yang sangat gelap. Ia kelihatan bersinar disebabkan oleh bintang-bintang besar di dalamnya memancarkan sejumlah besar sinaran ultraungu yang mengionkan gas.

.
Marikh merupakan planet keempat dari Matahari dalam Sistem Suria. Ia juga dikenali sebagai planet merah kerana permukaannya berwarna merah yang disebabkan oleh kewujudan ferum oksida. Ia merupakan planet yang menyerupai Bumi dalam Sistem Suria dan mempunyai lapisan atmosfera yang nipis yang terdiri daripada karbon dioksida, nitrogen dan argon. Marikh mempunyai dua satelit semulajadi, iaitu Phobos dan Deimos yang mempunyai ciri-ciri seperti 𝗮𝘀𝘁𝗲𝗿𝗼𝗶𝗱.

.
Nota:-
* 𝗞𝗼𝗻𝗷𝘂𝗻𝗴𝘀𝗶 (𝘊𝘰𝘯𝘫𝘶𝘯𝘤𝘵𝘪𝘰𝘯)
https://www.mysa.gov.my/mysa2022/infographic37/
https://www.mysa.gov.my/mysa2022/infographic40/
https://www.mysa.gov.my/mysa2022/infographic41/
* 𝗦𝗮𝗴𝗶𝘁𝘁𝗮𝗿𝗶𝘂𝘀 ialah buruj yang berlambangkan pemanah yang mempunyai badan separuh manusia dan separuh kuda.
* 𝗻𝗲𝗯𝘂𝗹𝗮 𝗽𝗮𝗻𝗰𝗮𝗿𝗮𝗻 ialah awan gas yang cerah.
* 𝙃 𝙄𝙄 𝙧𝙚𝙜𝙞𝙤𝙣 ialah sesuatu kawasan atom-atom hidrogen antara bintang yang telah terion.
* 𝗺𝗮𝗴𝗻𝗶𝘁𝘂𝗱 𝗸𝗲𝘁𝗮𝗿𝗮 ialah kecerahan sesuatu objek di langit malam.
* 𝘁𝗮𝗵𝘂𝗻 𝗰𝗮𝗵𝗮𝘆𝗮 ialah jarak atau jauh yang dilalui oleh cahaya dalam satu tahun. 1 tahun cahaya bersamaan dengan 9.46055 x 10^15 meter.
* 𝗮𝘀𝘁𝗲𝗿𝗼𝗶𝗱 ialah jasad kecil di langit (sebahagian daripada cakerawala), yang mengelilingi Matahari, jumlahnya puluhan ribu dan kebanyakannya terdapat di antara orbit Marikh dan Musytari.

.
𝗦𝘂𝗺𝗯𝗲𝗿 𝗥𝘂𝗷𝘂𝗸𝗮𝗻:
✅https://www.nasa.gov/…/2017/messier-8-the-lagoon-nebula
✅https://earthsky.org/cluster…/the-lagoon-nebula-messier-8/
✅https://www.nasa.gov/…/the-lagoon-nebula-gives-birth-to…
✅https://spaceplace.nasa.gov/all-about-mars/en/

.
#MYSA #MOSTI #ONL
#BekerjaBersamaRakyat #KeluargaAngkasa
#KeluargaMalaysia 

 
Skip to content