(Last Updated On: 2021-12-09)
263601781 270231971811385 7956414912842035625 n
Komet Leonard atau dikenali sebagai C/2021 A1 telah ditemui oleh ahli astronomi, Gregory J. Leonard yang bertugas di Balai Cerap Gunung Lemmon berhampiran dengan Tucson Arizona pada 3 Januari 2021. Ketika itu, magnitud ketara (kecerahan) komet Leonard adalah +19 dan berada pada jarak 5AU dari Matahari (bersamaan dengan jarak purata Musytari dari Matahari). Petunjuk awal semasa penemuan komet tersebut menjangkakan komet Leonard akan menunjukkan keistimewaannya menjelang penghujung tahun 2021.
.
Komet Leonard pada mulanya kelihatan dari langit Hemisfera Utara dan kini akan kelihatan dari Hemisfera Selatan pada Disember 2021 dan Januari 2022. Komet Leonard dikenali sebagai komet ultralaju kerana bergerak pada kelajuan 254,412 km/j atau 70.67 km/saat berbanding Bumi. Pengiraan orbit menunjukkan komet Leonard telah mengambil 35,000 tahun terakhir menuju ke arah Matahari selepas berada pada kedudukan aphelion iaitu sekitar 3,500AU dari Matahari. Dalam kata lain, komet Leonard tidak akan kelihatan lagi selepas kedudukan perihelion kali ini dan ia akan menjauhi Matahari.
.
Kini, komet Leonard sedang menuju ke arah Matahari dan ia akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Matahari (perihelion) pada 3 Januari 2022. Komet akan kelihatan sangat terang ketika berada pada kedudukan perihelion.
.
Sepanjang Disember 2021, komet Leonard menuju ke arah Matahari dan akan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi pada 12 Disember 2021 dengan jarak purata 34 juta km. Selepas 5 hari, iaitu pada 18 Disember 2021, komet ini akan menghampiri Zuhrah pada jarak 4.2 juta km. Dan kemudian akan mengelilingi Matahari pada 3 Januari 2022 pada jarak kira-kira 0.6 AU atau 90 juta km. Komet Leonard sukar dicerap dengan mata kasar. Walau bagaimanapun, kita boleh menggunakan binokular atau teleskop untuk mencerap komet Leonard pada Disember 2021 dan Januari 2022.
.
𝗕𝗮𝗴𝗶 𝗺𝗮𝘀𝘆𝗮𝗿𝗮𝗸𝗮𝘁 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮, 𝗸𝗼𝗺𝗲𝘁 𝗟𝗲𝗼𝗻𝗮𝗿𝗱 𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗹𝗶𝗵𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗱𝗶 𝗹𝗮𝗻𝗴𝗶𝘁 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗸𝗲𝗱𝘂𝗱𝘂𝗸𝗮𝗻 𝗿𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵 𝗱𝗶 𝘂𝗳𝘂𝗸 𝘁𝗶𝗺𝘂𝗿 𝗹𝗮𝘂𝘁 𝘀𝗲𝗯𝗲𝗹𝘂𝗺 𝗠𝗮𝘁𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝘁𝗲𝗿𝗯𝗶𝘁 𝗺𝘂𝗹𝗮𝗶 𝘀𝗲𝗸𝗮𝗿𝗮𝗻𝗴 𝗵𝗶𝗻𝗴𝗴𝗮 𝟭𝟮 𝗗𝗶𝘀𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿 𝟮𝟬𝟮𝟭. Komet Leonard akan kelihatan di ufuk barat daya sejurus selepas Matahari terbenam mulai 13 Disember 2021 hingga penghujung Januari 2022.
.
Nota kaki:
◾️Komet ialah jasad cakerawala yang terdiri daripada gumpalan batu, ais dan debu serta campuran gas yang bergerak mengelilingi Matahari dalam Sistem Suria. Ia membeku apabila menjauhi Matahari tetapi akan mengewap membentuk kepala bergas (coma) dan ekor apabila mendekati Matahari.
◾️Unit astronomi (Astronomical Unit) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1AU bersamaan dengan 1.5 x10⁸ km.
◾️Perihelion ialah kedudukan dalam orbit apabila sesuatu planet atau komet berada paling hampir dengan Matahari.
◾️Magnitud ketara ialah kecerahan sesuatu objek di langit malam.
 
.
 
 
Imej komet Leonard atau dikenali sebagai C/2021 A1 yang telah dirakam melalui sistem teleskop di Observatori Negara Langkawi (ONL) pada 6 Disember 2021 dan 7 Disember 2021.
TM34a
TM34b
Skip to content