(Last Updated On: 2024-04-16)
Komet 12P/Pons-Brooks
TM A Komet 12P/Pons-Brooks
TM B Komet 12P/Pons-Brooks
Komet 12P/Pons-Brooks pertama kali telah ditemui oleh Jean-Louis Pons pada tahun 1812, seorang ahli astronomi Perancis di Balai Cerap Marseilles, Perancis, dengan kecerahan pada magnitud ketara 4. Pada tahun 1883, ia telah ditemukan semula secara berasingan oleh William Robert Brooks, seorang ahli astronomi Amerika. 12P/Pons-Brooks merupakan sejenis komet berkala (periodic comet) dengan tempoh orbit sekitar 71 tahun. Komet ini turut dikenali sebagai “Devil Comet” kerana komanya kelihatan seakan-akan mempunyai dua tanduk pada waktu tertentu.
.
Pada 21 April 2024, Komet 12P/Pons-Brooks akan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Matahari (perihelion) dengan jarak sekitar 0.8 AU. Komet tersebut akan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi pada jarak sekitar 1.55 AU pada 2 Jun 2024. Dari sudut pandang langit malam Bumi pula, komet itu melintasi buruj Andromeda pada sepanjang Mac 2024 ke buruj Pisces pada awal April 2024 dan seterusnya ke buruj Cetus pada awal Mei 2024.
.
Komet 12P/Pons-Brooks dijangka akan kelihatan lebih terang dengan magnitud ketara (kecerahan) sekitar 4.5 dan boleh jelas dicerap dengan binokular atau teleskop kecil sekiranya cuaca adalah baik dan langit adalah gelap. 𝐊𝐨𝐦𝐞𝐭 𝟏𝟐𝐏/𝐏𝐨𝐧𝐬-𝐁𝐫𝐨𝐨𝐤𝐬 𝐡𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐥𝐢𝐡𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐥𝐚𝐧𝐠𝐢𝐭 𝐛𝐚𝐫𝐚𝐭 𝐝𝐢 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 𝐦𝐮𝐥𝐚𝐢 𝐬𝐞𝐤𝐚𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐬𝐞𝐡𝐢𝐧𝐠𝐠𝐚 𝐚𝐰𝐚𝐥 𝐌𝐞𝐢 𝟐𝟎𝟐𝟒 𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐰𝐚𝐤𝐭𝐮 𝐦𝐚𝐠𝐡𝐫𝐢𝐛 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐤𝐞𝐥𝐢𝐡𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐥𝐞𝐩𝐚𝐬 𝐭𝐚𝐫𝐢𝐤𝐡 𝐢𝐭𝐮 𝐤𝐞𝐫𝐚𝐧𝐚 𝐤𝐨𝐦𝐞𝐭 𝐭𝐞𝐫𝐬𝐞𝐛𝐮𝐭 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐛𝐞𝐫𝐚𝐝𝐚 𝐝𝐢 𝐛𝐚𝐰𝐚𝐡 𝐮𝐟𝐮𝐤.
.
Orang ramai boleh menggunakan aplikasi astronomi seperti Stellarium, The SkyLive Planetarium, SkySafari dan lain-lain untuk menyemak waktu komet 12P/Pons-Brooks terbit dan terbenam di lokasi masing-masing dan mendapatkan anggaran waktu kenampakan komet tersebut.
.
.
𝐍𝐨𝐭𝐚 𝐤𝐚𝐤𝐢:
▪ Komet ialah jasad cakerawala yang terdiri daripada gumpalan batu, ais dan debu serta campuran gas yang bergerak mengelilingi Matahari dalam Sistem Suria. Ia membeku apabila menjauhi Matahari tetapi akan mengewap membentuk kepala bergas (koma) dan ekor apabila mendekati Matahari.
▪ Komet berkala (Periodic Comet) merupakan komet yang pernah dilihat mengelilingi Matahari lebih daripada sekali.
▪ Koma ialah bahagian utama kebanyakan komet yang terdiri daripada awan gas dan debu bercahaya yang terserak luar mengelilingi nukleus atau jasad sebenar komet.
▪ Unit astronomi (Astronomical Unit) disingkatkan sebagai AU, adalah jarak purata antara Matahari dan Bumi. 1AU bersamaan dengan 1.5 x10⁸ km.
▪ Perihelion ialah kedudukan dalam orbit apabila sesuatu planet atau komet berada paling hampir dengan Matahari.
▪ Magnitud ketara ialah kecerahan sesuatu objek di langit malam.
Skip to content