(Last Updated On: 2024-01-03)
Kemuncak Hujan Meteor Quadrantids 5 Jan 2024

Hujan Meteor Quadrantids berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit asteroid yang dinamakan 2003 EH1. Sebahagian daripada asteroid ini terurai menjadi serpihan debu dan habuk akibat kesan rekahan terma yang kuat dan seterusnya terserak ke dalam laluan orbitnya. Asteroid dengan kelebaran 3km ini mengambil masa kira-kira 5.5 tahun untuk mengorbit mengelilingi Matahari.

Perkataan Quadrantids ini merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Quadrans Muralis, sebuah buruj yang sudah tidak lagi digunakan. Kawasan tersebut sekarang dikenali sebagai buruj Bootes dan hujan meteor ini turut dinamakan sebagai Bootids. Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah. Kebanyakan kemuncak hujan meteor berlaku selama kira-kira dua hari tetapi kemuncak hujan meteor Quadrantids ini hanya berlaku dalam beberapa jam sahaja kerana Bumi melintasi aliran zarah yang nipis tersebut secara bersudut serenjang (tegak lurus). Meteor Quadrantids juga terkenal dengan meteor bola api yang terang.

.
𝗧𝗶𝗽𝘀 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗯𝗼𝗹𝗲𝗵 𝗱𝗶𝗴𝘂𝗻𝗮𝗸𝗮𝗻 𝘂𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗿𝗮𝗽 𝗛𝘂𝗷𝗮𝗻 𝗠𝗲𝘁𝗲𝗼𝗿 𝗤𝘂𝗮𝗱𝗿𝗮𝗻𝘁𝗶𝗱𝘀 :
✅Pastikan pencerapan dilakukan di kawasan yang lapang dan tiada halangan seperti bangunan tinggi, pokok atau rumah.
✅Cuba dapatkan permandangan langit yang luas.
✅Jauhi persekitaran yang bercahaya. Kawasan lebih gelap adalah yang terbaik.
✅Sesuaikan mata dengan tahap kegelapan selama 20 minit.
✅Tidak perlu fokus ke arah buruj Bootes sahaja untuk melihat hujan meteor ini. Ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa.

.
𝗡𝗢𝗧𝗔 𝗞𝗔𝗞𝗜
▪Meteor atau dikenali juga sebagai tahi bintang adalah jaluran cahaya terang yang kelihatan di langit malam dengan kelajuan yang pantas dan secara tiba-tiba. Ia disebabkan oleh habuk dan batu-batu kecil yang terbakar apabila ia memasuki atmosfera Bumi dalam kelajuan yang sangat tinggi.

▪Bootes atau dikenali sebagai Gembala atau Pembajak ialah sebuah buruj di langit utara. Sekumpulan bintang yang kedudukannya berlambangkan gembala atau pembajak.

▪Asteroid merupakan satu daripada ribuan jasad kecil cakerawala yang mengelilingi Matahari, terutamanya di antara orbit Marikh dan Musytari.

▪Bola api atau dikenali sebagai fireball adalah letupan cahaya dan warna yang lebih besar yang boleh bertahan lebih lama berbanding dengan jalur meteor biasa kerana terhasil daripada zarah yang lebih besar. Bola api juga lebih terang dengan magnitud kecerahan lebih daripada -3.

.
𝗦𝗨𝗠𝗕𝗘𝗥 𝗥𝗨𝗝𝗨𝗞𝗔𝗡
▪https://www.timeanddate.com/…/meteor…/quadrantids.html
▪https://earthsky.org/…/everything-you-need-to-know…/
▪https://science.nasa.gov/…/meteors-meteorites/quadrantids
▪https://in-the-sky.org/news.php?id=20240104_10_100
▪https://www.space.com/35142-quadrantid-meteor-shower… 

Skip to content