(Last Updated On: 2024-06-26)
TM KAWAH TYCHO
Bulan merupakan satu-satunya satelit semula jadi Bumi. Bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri tetapi memantulkan cahaya Matahari ke mata kita. Permukaan Bulan dipenuhi dengan kawah disebabkan oleh hentaman asteroid, komet atau meteorit ke atas permukaan bulan. Terdapat beberapa kawasan yang berwarna gelap pada permukaan bulan yang merupakan dataran basalt yang luas terbentuk hasil daripada letusan gunung berapi kuno suatu masa dahulu. Kawasan gelap tersebut dipanggil “Mare” atau “Maria”.
.
Bulan tidak mempunyai atmosfera, udara, air dan tumbuh-tumbuhan seperti di Bumi. Apabila tiada air, udara dan tumbuh-tumbuhan, maka tidak berlaku sebarang hakisan di Bulan. Perkara inilah yang menyebabkan kawah-kawah di Bulan masih kekal wujud sehingga sekarang.
.
Salah satu kawah Bulan yang terkenal adalah Tycho. Kawah Tycho dinamakan sempena nama seorang ahli astronomi Denmark pada kurun ke-16 (1546–1601) iaitu Tycho Brahe. Kawah Tycho telah terbentuk lebih daripada 108 juta tahun dahulu. Ia terletak di bahagian kutub selatan Bulan. Kawah Tycho berdiameter sekitar 85 kilometer dengan kedalamannya lebih kurang 4.8 kilometer. Kawah ini mempunyai lantai yang rata dengan puncak yang berada di bahagian tengah kawah adalah berukuran setinggi 1,600 meter.
.
Keadaan kawah Tycho yang terpelihara dengan baik dan ciri-cirinya yang unik menjadikannya sebagai salah satu sumber kajian saintifik yang menarik bagi ahli astronomi untuk menjalankan kajian dinamik hentaman kawah dan evolusi geologi Bulan.
Skip to content