Jabatan Audit Negara (JAN) dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah menandatangani Nota Kerjasama pada 22 Mei 2026 bertempat di Ibu Pejabat MYSA, Kuala Lumpur. Nota Kerjasama ini ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara dan YBhg. Dato’ Gs. Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah MYSA.
.
Kerjasama ini merupakan kesinambungan kolaborasi yang bermula sejak tahun 2012. Project Audit Geospatial System (PAGeS) merupakan sistem aplikasi pengauditan inovatif berteraskan teknologi angkasa, dibangunkan melalui kepakaran pegawai kedua-dua jabatan.
.
Sehingga tahun 2026, sebanyak 116 kajian audit telah berjaya dan sedang dilaksanakan meliputi bidang kritikal seperti Pengurusan Sumber Asli dan Alam Sekitar, Pembangunan Infrastruktur Awam, Penyampaian Bantuan Kerajaan dan lain-lain.
Hasil kajian yang mengandungi imej satelit ini didokumentasikan dan dilaporkan secara rasmi dalam siri Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), sekaligus membuktikan keberkesanan PAGeS sebagai instrumen semak dan imbang yang berwibawa.
.
Integrasi teknologi angkasa melalui PAGeS membantu JAN dalam:

meningkatkan ketepatan analisis audit;

melaksanakan pemantauan projek secara berterusan; dan

memperkukuh transformasi metodologi pengauditan berasaskan data spatial yang lebih objektif dan sistematik.
.
MYSA komited menyusun strategi meningkatkan penerimaan teknologi angkasa membantu kecekapan pengurusan penyampaian perkhidmatan Kerajaan. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN 2030) – Teras 3: Memacu Pembangunan Sains dan Teknologi Angkasa serta Membina Kepakaran Tempatan.
.
Hadir sama, YBrs. Puan Norliza binti Md. Nuruddin, Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) JAN; YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI); dan YBrs. Encik Samsuddin bin Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) MYSA.