Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (AIT)

1.1. Pengenalan Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit (AIT)

Dalam mana-mana pembangunan satelit, ia harus mampu menghadapi getaran dan gegaran yang terhasil semasa fasa pelancaran, serta perubahan terma yang ekstrem semasa fasa pengoperasian, apabila satelit telah berada di orbit. Antaranya termasuklah kesan akustik dan getaran yang dialami semasa roket bersedia untuk dilancarkan, kejutan mekanikal semasa peringkat pemisahan roket, pelepasan panel-panel solar, perubahan suhu antara suhu panas terlampau dan suhu sejuk terlampau, keadaan vakum, radiasi solar dan banyak lagi kesan-kesan lain yang dialami oleh satelit. Kesan mekanikal dan terma yang bakal dialami oleh satelit akan mendatangkan kesan ke atas reka bentuk strukturnya. Maka, satelit hendaklah melalui pengujian yang menyeluruh bagi memastikan satelit tersebut dapat beroperasi di ruang angkasa. Fasiliti pengujian yang terdapat di Bumi perlulah mensimulasikan keadaan yang hampir sama yang akan dilalui oleh satelit semasa pelancaran dan semasa di orbit. .

Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit telah disiapkan pada 2011, merupakan sebuah fasiliti yang mampu menyediakan keadaan simulasi pengujian seperti yang akan dilalui oleh satelit. Kos pembinaan sebuah satelit bukannya murah, maka adalah penting untuk satelit itu diuji dahulu untuk memastikan ia dapat bertahan mengikut spesifikasi yang direka bentuk. Oleh itu, fasiliti ini dibina untuk menyediakan pengujian bagi instrumen dan perkakasan bumi dan angkasa. .

Keadaan Persekitaran Fasiliti :

Suhu                    :         22 ± 3°C

Kelembapan       :         55 ± 10% RH

Zarah (<0.5 µm) :         100,000 unit / ft3

Sambungan Pembumian      :        < 1.0 Ω

√ Ruang penerimaan sendat udara (airlock) untuk peranti di bawah pengujian

√  Kawasan yang luas dan tinggi bagi kerja-kerja integrasi

√  Peralatan sokongan mekanikal seperti kren, trak angkat susun dan sebagainya tersedia

1.2. Fungsi Utama Fasiliti Pemasangan, Integrasi dan Pengujian Satelit:

Fasiliti ini merupakan sebuah makmal bilik bersih kelas ISO 8 (atau kelas 100,000 mengikut Federal Standard 208E) yang mempunyai persekitaran yang terkawal serta dilengkapi dengan ruang integrasi yang luas dan pelbagai kemudahan mekanikal. Fasiliti ini mampu menyediakan keadaan persekitaran yang akan dialami oleh satelit dan komponennya seperti pelancaran roket, pemisahan satelit dari roket dan persekitaran orbit dan juga boleh digunakan untuk bidang-bidang lain seperti elektronik, automotif dan sebagainya. Fasiliti ini bertujuan untuk menyediakan servis pengujian dan pengukuran yang luas di bawah satu bumbung, serta menyediakan khidmat pengurusan dan teknikal yang kompeten dalam pengoperasian fasiliti pengujian persekitaran .

1.3 Perkhidmatan Pengujian dan Pengukuran Yang Ditawarkan

  1. Pengujian Getaran (Vibration Test)
  2. Pengujian Keserasian Elektromagnetik (Electromagnetic Compatibility Test)
  3. Pengujian Vakum Terma (Thermal Vacuum Test)
  4. Pengujian Gema Akustik (Reverberation Acoustic Test)
  5. Pengukuran Penjajaran (Alignment Measurement)
  6. Pengukuran Perihal Jisim (Mass Properties Measurement)

Fasiliti AIT
Fasiliti di AIT